JULAU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, meneruskan hari kedua XPDC 3.0 dengan meninjau keadaan infrastruktur serta keperluan perhubungan masyarakat di Nanga Maong, Nanga Ju, Ulu Ju, Entabai dan Rantau Bandau, semalam.
Lawatan itu memberi tumpuan kepada beberapa projek penting termasuk projek membina jalan di Nanga Maong, Klinik Nanga Maong, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Rumah Gerasi dan Rumah Mengiring di Ulu Ju yang kini mencatat kemajuan 32.25 peratus.
Setakat 25 Julai 2026, projek berkenaan mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 2.68 peratus apabila kemajuan fizikal mencapai 32.25 peratus berbanding 29.57 peratus yang dijadualkan.
Menurut Uggah, XPDC 3.0 penting bagi membolehkan kerajaan Sarawak menilai sendiri keadaan jalan bekas balak yang telah diambil alih untuk dinaik taraf demi meningkatkan akses perhubungan penduduk di kawasan pedalaman.

“Matlamat XPDC ini adalah untuk melihat keadaan jalan-jalan bekas balak yang telah diambil oleh kerajaan Sarawak untuk dinaik taraf.
“Keadaan jalan balak ini memang perlu dinaik taraf. Jadi pada hari ini kita turun sendiri bersama JKR Sarawak supaya kita dapat menilai apa yang patut kita lakukan terhadap jalan-jalan bekas balak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Membina Jalan di Nanga Maong sempena hari kedua XPDC 3.0 Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dekat sini semalam.
Projek bernilai RM70,185,884 itu dilaksanakan EPR (Kuching) Sdn Bhd dengan Jurutera CSD Sdn Bhd sebagai perunding.
Projek berkenaan bermula pada 29 April 2024 dan mempunyai tarikh siap semakan pada 5 Mac 2028, dengan skop pembinaan jalan sepanjang 13.6 kilometer mengikut piawaian Modified JKR R1 RC Road.

Ia merangkumi Jalan A sepanjang 8.97 kilometer, Jalan B sepanjang 4.426 kilometer dan Jalan C sepanjang 0.19 kilometer, selain pembinaan tiga jambatan konkrit bertetulang masing-masing sepanjang 70, 60 dan 75 meter.
Tinjauan kemudian diteruskan ke kawasan SK Nanga Ju sebelum Uggah menghadiri Majlis Merarau di Rumah Panjang Robert Masil, Nanga Ju.
Di SK Nanga Ju, beliau turut memaklumkan kelulusan pembinaan jalan masuk ke rumah panjang di Nanga Ju, Sungai Mujok serta sebuah jambatan keluli bagi memperbaiki akses perhubungan penduduk setempat.
Ekspedisi seterusnya diteruskan ke Rumah Gerasi dan Rumah Mengiring di Ulu Ju serta beberapa lokasi di Entabai dan Rantau Bandau bagi menilai keperluan infrastruktur secara lebih menyeluruh.
XPDC 3.0 berlangsung selama dua hari, 12 hingga 13 Ogos 2026. Pada hari pertama, ekspedisi melibatkan tinjauan ke lima projek di kawasan Ulu Skrang dan Ulu Kota sebelum diteruskan ke Nanga Maong dan Nanga Ju pada hari kedua.
Sepanjang ekspedisi, Uggah bersama pasukan JKR Sarawak menilai keadaan infrastruktur secara langsung serta mengenal pasti projek dan penambahbaikan yang perlu diberi keutamaan bagi memperkukuh perhubungan masyarakat serta merancakkan pembangunan di kawasan pedalaman Julau.
Oleh Adi Safarman




