
KAPIT: Sebanyak 68 persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM686,000 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Hotel Meligai, di sini, semalam.
Majlis anjuran Pusat Khidmat ADUN Bukit Goram itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) yang juga ADUN Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Dalam ucapannya, Datuk Jefferson menzahirkan penghargaan kepada semua penerima kerana hadir memeriahkan majlis dan menegaskan bahawa peruntukan MRP bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi lambang kepercayaan dan harapan untuk perubahan di peringkat akar umbi.
“MRP bukan sekadar cek, tetapi simbol kepercayaan dan harapan untuk perubahan.
“Perubahan dari segi prasarana, semangat gotong-royong, dan penglibatan masyarakat dalam membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau menggesa agar semua penerima melaksanakan projek masing-masing dengan penuh amanah, telus dan berhemah demi kesejahteraan bersama.
Tambahnya, di bawah kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), pelbagai pembangunan infrastruktur dan ekonomi telah dan sedang giat dijalankan di kawasan luar bandar, termasuk jaringan jalan raya yang membuka akses baharu kepada komuniti pedalaman untuk memasarkan hasil pertanian dan kraftangan ke kawasan bandar.
“Sokongan berterusan kepada kerajaan GPS amat penting dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan saksama di seluruh tempat kita di Sarawak,” katanya.
Majlis penyerahan berjalan lancar dan teratur, mencerminkan komitmen Pusat Khidmat ADUN Bukit Goram dalam memastikan penyampaian bantuan kerajaan sampai terus kepada rakyat.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Awan, Pegawai Daerah Kapit, Cerislogo Sabut, wakil Pejabat Residen Bahagian Kapit, Daniek Batin serta para pemimpin masyarakat termasuk Pemancha dan Penghulu tempatan. -UKAS