
KAPIT: Prosedur yang ditetapkan dalam permohonan dan penyaluran geran kerajaan perlu dipatuhi bagi memastikan tadbir urus kewangan negara dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pematuhan ini penting sebagai langkah pencegahan terhadap sebarang bentuk penyelewengan dana awam, sama ada oleh wakil rakyat mahupun penerima geran.
“Setiap permohonan perlu disertakan dengan surat rasmi daripada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai rekod rasmi.
“Selain itu, penerima dana juga diminta menyediakan laporan ringkas berkaitan penggunaan dana yang diterima untuk diserahkan kepada Pusat Khidmat Parlimen,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Cek Parlimen Kapit di sebuah hotel di sini, pagi tadi.
Beliau turut menegaskan bahawa penyediaan laporan tersebut penting bagi memastikan proses penyaluran dan penggunaan dana dapat difahami serta dipantau oleh semua pihak.
“Laporan itu tidak perlu terlalu terperinci, memadai dengan ringkasan ringkas agar rekod penggunaan dana dapat direkodkan secara telus,” ujarnya.
Beliau berkata, penyaluran dana kepada rakyat merupakan antara tanggungjawab utama wakil rakyat dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat.
“Saya mengingatkan semua penerima supaya menggunakan peruntukan yang diterima dengan berhemah agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh komuniti,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, sebanyak RM654,000 telah disalurkan kepada 40 organisasi, termasuk persatuan, NGO dan JKKK di kawasan Parlimen Kapit.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Oleh Akun Giman