
SIMANGGANG: Sebanyak tiga projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang melibatkan peruntukan keseluruhan RM650,000 diserahkan tapaknya kepada kontraktor terlibat semalam.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek berkenaan melibatkan dua projek di bawah seliaan Majlis Daerah Sri Aman dan satu projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman.
Antara projek yang diserahkan ialah kerja menaik taraf Gelanggang Bola Keranjang Datuk Francis Harden Hollis bernilai RM150,000 yang akan dilaksanakan oleh syarikat Elda Jaya Resources.
Turut diserahkan ialah projek pemasangan 60 unit lampu jalan berkuasa solar di Kampung Muhibbah fasa dua dan tiga serta Kampung STC bernilai RM200,000 yang diberi kepada syarikat Sri Mesra Enterprise.
Sementara itu, projek pembinaan baharu gelanggang serbaguna terbuka dan struktur berbumbung di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu bernilai RM300,000 akan dilaksanakan oleh syarikat RIE Enterprise.
Menurut Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, tempoh pembinaan bagi projek naik taraf gelanggang bola keranjang dan pemasangan lampu solar adalah tiga bulan bermula 5 Disember hingga 4 Mac 2026.
Manakala projek pembinaan gelanggang serbaguna baharu dijangka siap dalam tempoh enam bulan sehingga 4 Jun 2026.
Beliau berkata, kesemua projek ini diluluskan melalui peruntukan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan merangkumi kemudahan yang telah lama dimohon penduduk setempat.
“Rombongan yang hadir perlu menyebarkan maklumat bahawa kerajaan Sarawak sentiasa komited membangunkan kawasan demi kemudahan rakyat,” katanya.
Majlis penyerahan turut dihadiri pegawai agensi pelaksana, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta wakil sekolah terlibat.
Oleh Adi Safarman