BEKENU: Sebanyak 114 pertubuhan dengan jumlah keseluruhan RM637,000 telah disalurkan melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Bekenu, hari ini.
Majlis penyerahan cek MRP itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sibuti.
Datuk Rosey turut menekankan kepentingan data isi rumah yang sistematik dan berasaskan digital bagi membantu kerajaan merancang pembangunan serta menyediakan kemudahan awam mengikut keperluan sebenar penduduk.

Katanya, setiap kampung dan rumah panjang di DUN Bekenu perlu menggumpul data merangkumi nombor pintu rumah, bilangan penghuni serta nombor telefon setiap isi rumah bagi membolehkan pihak berkaitan mengenal pasti jumlah warga emas dan kanak-kanak di sesuatu kawasan.
“Langkah itu amat penting memandangkan Malaysia dijangka menjadi sebuah Negara Tua menjelang 2028 apabila kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan populasi terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
“Melalui data yang lengkap dan tepat, kita dapat mengenal pasti lebih awal keperluan masyarakat termasuk penyediaan Taska, Tadika, sekolah dan kemudahan penjagaan warga emas mengikut kawasan,” katanya.

Tambahnya, kita tidak boleh lagi bergantung kepada anggaran atau sistem manual kerana rekod mudah hilang dan rosak.
Sebaliknya, semua data perlu disimpan secara digital, contohnya melalui Google Drive, supaya lebih selamat, mudah diakses serta boleh dikemas kini dari semasa ke semasa.
“Pangkalan data yang lengkap bukan sahaja memudahkan penyampaian bantuan dan perancangan pembangunan, malah membolehkan kerajaan membuat keputusan berdasarkan data sebenar demi memenuhi keperluan rakyat pada masa hadapan,” jelasnya.
Beliau turut berharap semua ketua masyarakat dan pemimpin setempat dapat memberikan kerjasama dalam mengumpulkan serta mengemas kini data penduduk secara berkala bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Turut hadir Pemanca Dr Ali Mudin dan Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum (KMKK) dari Sibuti, Bekenu, Niah dan Saeh.
Oleh Adum Liu




