
BEKENU: Pembinaan Jambatan Bulau yang bernilai RM6,094, 026.45 akan mengambil masa dua tahun dan dijangka siap pada 27 Februari 2027.
Projek ini secara strategik meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua belah Kampung Bulau, yang kini dipisahkan oleh Sungai Sibuti.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan adanya jambatan tersebut akan memudahkan mobiliti yang lebih baik termasuk akses yang lebih pendek dan selamat untuk masyarakat setempat.
“Walaupun tempoh pembinaan projek itu dalam masa 24 bulan, kita mohon kontraktor boleh menyiapkannya dalam masa 12 bulan.
“Kalau tidak 12 bulan… 18 bulan pun boleh, ini kerana jambatan itu hanya panjang 90 meter.
“Segala usaha ini adalah sebahagian daripada visi besar Sarawak di bawah Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030, yang bertujuan memajukan kawasan luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata demikian di majlis Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Kampung Bulau, Bekenu, hari ini.
Tambahnya, kita tidak mahu projek di Kampung Bulau ini gagal, berharap pihak Jabatan Kerja Raya terus memantau pembinaan jambatan ini.
“Wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus diharap menjadi ‘mandur’ untuk projek ini supaya ia berjaya dan lancar sehingga siap.
“Projek ini akan membawa perubahan besar kepada penduduk Kampung Bulau dengan memberi akses lebih baik dan lebih selamat untuk menyeberangi Sungai Sibuti, berbanding hanya bergantung kepada jambatan gantung yang ada sekarang.
“Kita mengharapkan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual demi manfaat bersama. Marilah kita sama-sama berdoa agar projek ini dipermudahkan dan menjadi salah satu mercu tanda pembangunan kawasan Bekenu yang akan kita banggakan bersama.
Sementara itu, skop kerja projek ini ialah membina Jambatan panjang 90 meter dan lebar 4.5 meter yang menggunakan teknologi Ultra-High-Performance-Concrete (UHPC). Turut membina 0.451 kilometer jalan standard R1 sebagai akses ke jambatan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu dan Pengarah Kerja Raya Sarawak Ir Dr Cassidy Morris, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis dan ketua-ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu