RM53 juta lengkapkan tiga projek mitigasi di Bintulu

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian meninjau kawasan berkaitan projek mitigasi banjir selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Bintulu di Bintulu, hari ini.

BINTULU: Kerajaan Sarawak meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM53 juta bagi melengkapkan tiga komponen yang masih berbaki di bawah Fasa Dua Projek Mitigasi Banjir Bintulu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, peruntukan itu membabitkan projek di kawasan Gem Park, Desa Damai dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sebiew.

Beliau berkata, kelulusan tersebut dibuat oleh Kabinet Sarawak bulan lalu susulan kebimbangan terhadap kejadian banjir yang berlaku setiap tahun di Bintulu.

“Disebabkan kebimbangan terhadap kejadian banjir yang berlaku setiap tahun, saya telah mengemukakan rayuan kepada Premier Sarawak untuk mendapatkan kelulusan.

“Susulan itu, Kabinet Sarawak telah meluluskan tambahan RM53 juta bagi menyiapkan tiga projek yang masih berbaki di bawah Fasa Dua, iaitu di Gem Park, Desa Damai dan SJK Sebiew,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau tapak projek di Gem Park selepas menghadiri Mesyuarat Timbalan Premier Sarawak Bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Bintulu di Pejabat DID Bintulu, di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, DID Bahagian Bintulu bersama pihak perunding kini sedang membuat persiapan bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Katanya, proses tender dijangka dipanggil pada awal September, manakala kerja-kerja di tapak dijangka bermula antara pertengahan hingga akhir Oktober.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kelulusan peruntukan itu diperoleh susulan rayuan yang dikemukakannya kepada Premier Sarawak selepas kejadian banjir di Bintulu tahun lalu.

Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut diharap dapat mengurangkan kebimbangan penduduk berhubung risiko banjir yang masih berlaku di beberapa kawasan.

Oleh Carolyne Utih