KABONG: Peruntukan berjumlah RM500,000 telah diluluskan bagi membina tanjakan pelepasan (ramp) di jeti Kampung Hilir Laut Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan akan menggunakan peruntukan daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Keadaan jeti ini sudah begitu uzur. Saya difahamkan jeti ini telah rosak akibat dilanggar oleh sebuah kapal yang singgah di jeti berkenaan.
“Usaha pihak berkuasa tempatan menjejak kembali pemilik kapal berkenaan buntu kerana tidak dapat dihubungi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan bersama agensi pelaksana dan pihak BDDA di jeti Kampung Hilir Laut Kabong dekat sini, hari ini.
Chee Kadir dalam pada itu menggesa kepada agensi pelaksana untuk mempercepatkan pelaksanaan projek membina baharu tanjakan pelepasan di jeti terbabit.
“Mengira kepentingan penduduk, projek bina baharu tanjakan ini perlu dipercepatkan pelaksanaannya kerana jeti ini sememangnya digunakan oleh penduduk dan pelajar sekolah dari Kampung Batang Maro dan Kampung Paloh setiap hari,” katanya.
Sementara itu, tular di media sosial baru-baru ini jeti berkenaan telah musnah, dan menyebabkan keresahan kepada penduduk di kedua-dua kampung menggunakan kemudahan terbabit.
“Untuk itu, saya telah mengarahkan agensi berkaitan untuk membina jeti alternatif iaitu bersifat sementara untuk digunakan oleh penduduk sekitar dan ia telah pun siap dibina oleh kontraktor yang dilantik,” katanya.
Turut hadir ialah Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, TS Steward Ludan; wakil daripada Lembaga Sungai Sarawak (LSS); Penghulu Rahman @ Dom Kapok; Ketua Kampung Salahah Gulong serta wakil BDDA Betong.
Oleh Adi Safarman