
SARIKEI: Tradisi, pendidikan, kebajikan dan perpaduan menjadi teras kepada majlis empat dalam satu anjuran Persatuan Klan Lee Sarikei yang berlangsung baru-baru ini di salah sebuah restoran di sini.
Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, dalam ucapan yang dibacakan oleh wakilnya Penghulu Huang Tiong Kang, menyatakan penghargaan atas usaha murni persatuan dalam memelihara warisan budaya, menghormati warga emas, mengiktiraf kecemerlangan pendidikan, serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Saya ucap tahniah kepada barisan jawatankuasa baharu Persatuan Klan Lee Sarikei, termasuk Jawatankuasa Wanita dan Belia yang komited menyambung warisan serta menyuntik semangat baharu dalam persatuan,” katanya.
Sempena sambutan Perayaan Kuih Bulan, Tiong Sii menyifatkan ia sebagai simbol kesatuan dan kesyukuran dalam budaya Cina, selain menjadi wadah menghubungkan generasi muda dengan warisan turun-temurun.

“Melalui majlis penghormatan ini, persatuan memberi contoh kepada generasi muda mengenai pentingnya menghormati orang tua. Menghormati dan menyayangi warga emas adalah khazanah budaya yang mesti terus dipelihara.”
Dalam aspek pendidikan, Tiong Sii memuji inisiatif pemberian insentif kepada pelajar cemerlang, sebagai galakan untuk belia berusaha lebih gigih demi masa depan yang lebih cerah.
“Kejayaan pelajar bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menyumbang kepada pembangunan masyarakat.”
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan RM50,000 bagi membantu kos pembelian bangunan Persatuan Klan Lee Sarikei, yang akan dijadikan sebagai pusat rasmi kegiatan komuniti.
Tiong Sii menegaskan komitmen beliau untuk terus memperjuangkan pembangunan Sarikei, khususnya dalam memperkukuh kemudahan asas, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Earl Anek