
MARUDI: Lima Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Marudi menerima peruntukan berjumlah RM50,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP), sebagai usaha memperkasa pendidikan dan prasarana sekolah luar bandar.
Setiap PIBG menerima RM10,000, melibatkan PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Long Teran Kanan, PIBG SK Long Jegan, PIBG SK Sungai Bong, PIBG SK Sungai Sebatu Tinjar dan PIBG SK Long Lapok.
Penyerahan cek disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, sempena perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan SK Long Teran Marudi.
Dalam ucapannya, Dr Penguang turut berkongsi perkembangan Projek Rakyat di kawasan tersebut, termasuk kerja menaik taraf jalan, pembinaan jambatan, serta projek bekalan elektrik luar bandar di Kampung Long Teran.
Menurut beliau, lebih 10 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah dan sedang dilaksanakan di kampung itu sejak 2016, antaranya pembinaan dewan sekolah, pembinaan jeti, naik taraf dewan kampung, pembinaan tapak rumah panjang baharu dan naik taraf laluan pejalan kaki.

Keseluruhan projek ini melibatkan peruntukan melebihi RM1 juta.
Turut hadir Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu, SAO Alvin, Ahli Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Philip Anyi, serta Yang Dipertua PIBG SK Long Teran Kanan, Jonathan Anyi.
Oleh Jiku Juguong