KUCHING: Sebanyak 14 pasukan dari seluruh Sarawak bakal merebut gelaran juara Liga Premier Sarawak 2026 (SPL26) yang dijangka berlangsung dengan penuh aksi, semangat kesukanan dan persaingan sengit sepanjang musim.
Menurut Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), penganjuran SPL26 diharap dapat terus memperkukuhkan hubungan serta kerjasama antara FAS, persatuan-persatuan bola sepak bahagian, pasukan gabungan serta semua pihak yang terlibat dalam pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Penyertaan 14 pasukan dari seluruh Sarawak dijangka menyemarakkan lagi saingan SPL26 sepanjang musim menerusi persaingan antara pasukan yang mengambil bahagian.
“FAS menyeru seluruh peminat dan rakyat Sarawak untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing dengan hadir ke stadium serta memeriahkan setiap perlawanan Liga Premier Sarawak 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penganjuran SPL26 diharap dapat terus memperkukuhkan lagi pembangunan bola sepak di negeri ini menerusi kerjasama berterusan antara FAS, persatuan bola sepak bahagian, pasukan gabungan dan semua pihak berkaitan.
SPL26 membawa slogan ‘Menyatukan Sarawak Melalui Bola Sepak’ sebagai aspirasi untuk menyatukan peminat dan rakyat Sarawak menerusi sukan berkenaan.
Untuk rekod, bagi struktur hadiah, pasukan yang muncul juara SPL26 bakal menerima hadiah wang tunai RM50,000.
Juara turut menerima Piala Kejuaraan Liga Premier Sarawak 2026, pingat kejuaraan dan sijil penyertaan.
Pasukan yang muncul naib juara pula akan menerima hadiah wang tunai RM30,000 selain Piala Naib Juara Liga Premier Sarawak 2026, pingat dan sijil penyertaan.
Dua pasukan yang menduduki tempat ketiga bersama masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 selain Piala Tempat Ketiga Liga Premier Sarawak 2026, pingat dan sijil penyertaan.





