
KUCHING: Seramai enam individu termasuk empat lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 61 tahun serta dua warga Indonesia berusia 32 dan 47 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pembalakan haram di kawasan Selangau, Sibu.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata, serbuan yang dijalankan semalam, 10.00 pagi oleh sepasukan anggota Batalion 10 PGA, Sibu itu merupakan sebahagian daripada Op Taring Libas dan berjaya membawa kepada rampasan bernilai keseluruhan RM5.7 juta.
“Hasil serbuan di tapak yang disyaki terlibat dengan aktiviti pembalakan haram itu membawa kepada penahanan enam suspek serta penemuan 400 batang kayu balak pelbagai jenis.
“Turut dirampas ialah sebuah kenderaan, dua jengkaut jenama Kobelco, dan sebuah jentolak,” katanya.
Ghazali berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,728,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
Semua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan di Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Hutan Sarawak 2015 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Menurut Ghazali, kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memerangi pembalakan haram yang bukan sahaja merosakkan alam sekitar, tetapi turut menjejaskan hasil negara.
“Kami akan terus memperketatkan pemantauan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
Tambahnya, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 14 April tahun ini, Briged PGA Sarawak telah merekodkan sebanyak 99 kes di bawah Op Taring, dengan 239 tangkapan melibatkan 176 warga tempatan dan 63 warga asing, serta rampasan 146 kenderaan.
Katanya lagi, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM214 juta.
Oleh Connie Chieng