PETRA JAYA: Dana berjumlah RM5.5 juta diperuntukkan bagi projek membina baharu jeti nelayan di Kampung Gerigat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata projek tersebut adalah antara 16 projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong menerusi Sektor Pembangunan Perniagaan, Industri dan Usahawan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Peruntukan yang telah diluluskan kerajaan Sarawak bagi melaksanakan projek membina baharu jeti nelayan ini bakal memberi manfaat kepada nelayan sekitar terutamanya di Kampung Gerigat.
“Projek membina baharu jeti nelayan di Kampung Gerigat ini bakal dilaksanakan pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Chee Kadir telah melakukan perbincangan ringkas bersama wakil agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, dan pihak GRE Konsultan berkenaan projek tersebut di luar persidangan DUN di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek-projek ini merupakan permintaan daripada penduduk kampung dan nelayan yang mahukan jalan penyelesaian kepada masalah dan kekurangan yang berlaku di kampung-kampung mereka.
“Pembinaan jeti baharu itu nanti adalah bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk kampung serta golongan nelayan untuk memunggah hasil laut mereka,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN