


KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatat kejayaan besar di bawah Op Taring Chiller apabila merampas produk makanan sejuk beku haram bernilai lebih RM5.25 juta dalam satu operasi di bandar raya ini, semalam.
Pegawai Pemerintah Briged PGA Sarawak, SAC Lim Bak Phai berkata, operasi yang dijalankan di sebuah premis sekitar bandar raya ini membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan produk makanan sejuk beku tanpa dokumen atau permit yang sah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 15,756 kilogram daging khinzir sejuk beku, selain pelbagai peralatan pemprosesan daging serta kemudahan storan sejuk.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,252,917.60,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata, suspek bersama semua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 9 subseksyen (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Beliau menegaskan bahawa PGA Sarawak akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran produk makanan yang tidak mematuhi peraturan.
“Aktiviti sebegini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan makanan, kesihatan awam dan kepentingan pengguna,” katanya.
Oleh Connie Chieng