
DAYANG Noorazah semasa menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek BDDA yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Lingga
BETONG: Sebanyak RM49.4 juta diperuntukkan bagi melaksanakan enam projek pembangunan utama di kawasan Maludam di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur dan kesejahteraan rakyat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, peruntukan tersebut meliputi projek mitigasi banjir, sistem saliran, kemudahan komuniti serta penempatan semula penduduk terjejas hakisan pantai yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek BDDA yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam, bagi membincangkan status pelaksanaan projek pembangunan serta perancangan strategik di kawasan Maludam.
Menurut beliau, projek terbesar melibatkan kerja mitigasi banjir di Maludam dengan peruntukan RM40 juta yang kini berada di peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada suku keempat 2026, manakala projek sistem saliran dan perparitan bernilai RM7 juta turut dijadualkan untuk proses tender pada tempoh sama.
Selain itu, pembinaan Dataran Kebudayaan Maludam bernilai RM1 juta yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Betong kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada Jun 2026, sekali gus menyediakan ruang aktiviti sosial dan kebudayaan kepada masyarakat setempat.
Dua lagi projek melibatkan pembinaan Balai Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Triso serta Balai Raya Pembangunan Wanita dan Ibu Triso dengan peruntukan RM700,000 masing-masing dijangka ditender pada suku kedua 2026 selepas kelulusan tapak dan reka bentuk diperoleh.
Turut dibincangkan ialah projek pemindahan enam buah rumah keluarga mangsa hakisan pantai di Tanjung Riong Maludam yang kini di peringkat kelulusan tapak dan reka bentuk, dengan anggaran tender pada suku kedua 2026 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Betong.
Dayang Noorazah menegaskan kepentingan kerjasama erat antara agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan serta kepimpinan masyarakat bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan dan memberi impak maksimum kepada rakyat.
Beliau turut menyambut baik komitmen semua pihak terlibat serta berharap segala inisiatif pembangunan di bawah BDDA dapat dilaksanakan dengan lancar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh infrastruktur asas dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Bahagian Betong.
Oleh Adi Safarman