SARIKEI: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM484,680 kepada Sekolah Menengah (SM) Ming Lik sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pendidikan pelbagai aliran terus mendapat sokongan sewajarnya.
Pengerusi Lembaga Pengurusan SM Ming Lik, Pemanca Chan Phan Chan, berkata bantuan tersebut amat bermakna dalam membantu pihak sekolah menampung perbelanjaan, meningkatkan kualiti pengajaran serta menambah baik kemudahan pendidikan.
Katanya, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengamalkan pendekatan terbuka terhadap pendidikan, termasuk dalam menyokong perkembangan sekolah menengah persendirian Cina.
“Pendekatan yang terbuka ini menunjukkan kerajaan menghormati keperluan pendidikan pelbagai aliran dan memastikan sekolah berkenaan mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pihaknya menerima cek replika bantuan daripada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, di Pusat Khidmat Repok, semalam.
Katanya, pada tahun ini, kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM10 juta kepada 14 sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negeri, dengan SM Ming Lik menerima RM484,680.
“Sokongan kerajaan Sarawak bukan sahaja diterjemahkan menerusi bantuan kewangan kepada sekolah, malah turut melibatkan dasar pendidikan yang memberikan peluang lebih luas kepada pelajar.
“Langkah mengiktiraf keputusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menyediakan pendidikan universiti secara percuma kepada pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang memenuhi syarat memperlihatkan pendekatan kerajaan yang inklusif terhadap pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, atas perhatian dan sokongan berterusan terhadap perkembangan SM Ming Lik.
“Sepanjang hampir 11 tahun sebagai wakil rakyat, beliau telah menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM1 juta kepada SM Ming Lik bagi menyokong pembangunan dan usaha menaik taraf kemudahan sekolah.
“Selain bantuan pembangunan sekolah, beliau turut menyumbangkan pakaian seragam, kasut dan beg sekolah kepada pelajar, sekali gus membantu meringankan beban ibu bapa,” katanya.
Tambahnya, bantuan yang diterima membolehkan pihak sekolah terus memperkukuh persekitaran pembelajaran serta menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada pelajar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas sokongan berterusan terhadap sekolah menengah persendirian Cina di Sarawak, termasuk SM Ming Lik.
Phan Chan berharap sokongan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan mutu pendidikan dan seterusnya melahirkan lebih ramai pelajar berilmu, berakhlak serta bertanggungjawab yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sarikei dan Sarawak.
Oleh Earl Anek





