Oleh Azreen Keria
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak memperuntukkan hampir RM46 bilion untuk pembangunan infrastruktur negeri ini membabitkan 960 projek dalam pelbagai peringkat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata negeri ini bersama Kerajaan Pusat komited untuk mempergiatkan lagi pembangunan prasarana di Sarawak.
Katanya, beberapa projek telah disiapkan, manakala sebahagian lagi masih dalam pembinaan dan di peringkat pra-kontrak.
Antara projek infrastruktur utama yang dilaksanakan adalah Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Pesisir dan Jalan utama (CSTR) serta Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Ini juga termasuk mewujudkan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Semua ini adalah projek untuk rakyat,” katanya berucap pada sesi keempat Istiadat Konvokesyen UNIMAS ke-26 di sini hari ini.
Uggah berkata, semua projek pembangunan itu bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan ekonomi setempat dengan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
“Sambungan jalan raya adalah penting untuk Sarawak, kerana ia menyediakan peluang baharu dan membuka potensi ekonomi.
“Sehingga kini, sebanyak 30,650 kilometer (km) jalan raya negeri dan 1,591 km Jalan Persekutuan dilaksanakan di negeri ini.
“Ini tidak termasuk jalan milik persendirian, seperti jalan ladang dan balak,”katanya.
Beliau berkata, dengan keadaan tanah gambut, kawasan berbukit-bukau serta pergunungan, ia amat mencabar serta memerlukan perbelanjaan besar untuk mencurah pembangunan.
“Bagaimanapun, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita mengabaikan penduduk luar bandar.
“Semua orang berhak menikmati kemakmuran ekonomi Sarawak, keterangkuman sosial, dan persekitaran yang mampan,” katanya.