
KANOWIT: Projek pembinaan Jalan Nanga Ngungun–Nanga Bat bernilai RM42 juta dilihat sebagai pemangkin utama meningkatkan akses dan kesejahteraan penduduk di kawasan pedalaman Ngemah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, projek tersebut telah bermula sejak 25 Februari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 Februari 2028 sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan sosioekonomi kepada penduduk setempat.
“Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar.
“Pembinaan jalan ini amat penting dalam meningkatkan hubungan, kemudahan asas serta taraf hidup masyarakat di kawasan Ngemah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kulih Jabu, SPS Nanga Ngungun, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan projek Jalan Nanga Bat–Nanga Pra kini telah mencapai 76 peratus kemajuan dan sudah boleh dilalui kenderaan, meskipun masih dalam proses penyiapan.
Pada masa sama, Anyi menegaskan beliau akan terus memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan itu agar berjalan lancar serta memberi impak maksimum kepada rakyat.
Selain pembangunan infrastruktur, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas masa depan generasi muda, termasuk memanfaatkan inisiatif kerajaan negeri seperti yuran pengajian percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak.
Dalam majlis tersebut, beliau turut meluluskan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM120,000 bagi kerja membaik pulih Rumah Kulih Jabu yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu.
Turut disalurkan, geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang berkenaan.
Sementara itu, ADUN Machan, Allan Siden Geramong yang turut hadir, meluluskan tambahan geran MRP sebanyak RM4,000 kepada JKKK Rumah Kulih Jabu.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Kanowit, Clinton Jelai.
Oleh Tarani Lanting