
KRIAN: Peruntukan berjumlah RM400,000 menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) disalurkan bagi melaksanakan projek naik taraf jalan kebun di dua lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, sekali gus dijangka memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, projek tersebut melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan kebun di Sungai Kedang, Seblak, Roban serta kawasan Stinggam Awik, Krian yang masing-masing menerima peruntukan RM200,000.

Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar, khususnya bagi menyokong aktiviti pertanian dan perladangan.
Terdahulu, satu mesyuarat ‘kick-off’ bagi projek jalan ladang BDDA telah diadakan sebagai persediaan sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan dalam masa terdekat.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil Pusat Khidmat ADUN Krian, James Jimbun bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), BDDA serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Friday berkata, mesyuarat itu bertujuan memberi penerangan terperinci kepada kontraktor mengenai skop kerja, spesifikasi teknikal serta garis masa pelaksanaan projek yang telah dianugerahkan melalui proses tender sebelum ini.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan projek secara terancang dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan amat penting bagi memastikan kualiti jalan yang dibina memenuhi keperluan pengguna, khususnya pekebun kecil di kawasan terlibat.
Katanya, kemudahan jalan ladang yang lebih baik akan memudahkan pergerakan hasil pertanian, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
“Dengan terbinanya jalan kebun yang lebih baik, para pekebun kecil kelapa sawit dan penduduk setempat akan menikmati akses yang lebih mudah ke kebun masing-masing, seterusnya membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan agar manfaatnya dapat dinikmati segera oleh komuniti setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi luar bandar di kawasan DUN Krian.
Oleh Adi Safarman