AMANDA L.
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM4.6 bilion bagi melaksanakan projek bekalan air di negeri ini, termasuk di Kampung Nyabut dan Kampung Trombol, sebagai langkah memastikan bekalan air bersih yang stabil dan berkualiti kepada rakyat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menjelaskan, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperluas dan menambah baik sistem bekalan air di seluruh Sarawak melalui Pelan Induk Bekalan Air Sarawak.
“Setakat ini, sebanyak 289 daripada 407 projek bekalan air telah siap, sementara 79 projek dalam peringkat pra-kontrak dan selebihnya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya ketika perasmian Projek Bekalan Air Kampung Nyabut dan Kampung Trombol, hari ini.
Beliau menjelaskan, projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebelum diserahkan kepada Lembaga Air Kuching untuk penyelenggaraan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak amat penting bagi memastikan rakyat, tanpa mengira lokasi, mendapat akses kepada infrastruktur asas yang diperlukan,” tambahnya.
Perasmian projek bekalan air di Kampung Nyabut dan Kampung Trombol itu turut membawa kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini bergantung kepada sumber air alternatif.
Dengan adanya bekalan air bersih yang stabil, penduduk kini dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa, selain membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kebersihan di kawasan berkenaan.
Selain aspek kesihatan, bekalan air yang stabil juga dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, termasuk dalam sektor perniagaan kecil dan pertanian.
Usahawan tempatan kini mempunyai kemudahan yang lebih baik untuk mengembangkan perniagaan mereka, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada arus pembangunan, sejajar dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Projek bekalan air ini bukan sekadar tentang penyediaan infrastruktur, tetapi juga langkah penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan memperkasakan komuniti luar bandar untuk masa hadapan yang lebih baik,” ujarnya.
