
PETRA JAYA: Sebanyak RM383.139 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 54 projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang diselia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BDDA, Dato Gerald Rentap Jabu, berkata peruntukan tersebut melibatkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Layar, Lingga, Beting Maro, Kalaka, Krian, Kabong, Bukit Saban dan Saribas.
“Bagi sektor pembangunan infrastruktur, sebanyak 29 projek diperuntukkan RM246.219 juta, di mana 23 projek kini di peringkat reka bentuk, tiga dalam penilaian, satu dalam pelaksanaan dan dua telah siap,” katanya.
Dalam sektor pembangunan agro pertanian, RM88.920 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 22 projek. Satu projek masih dalam status menunggu kelulusan lokasi atau tapak, 12 dalam reka bentuk, lapan mengikut jadual dan satu ditangguhkan.
Sementara itu, sektor pelancongan dan persekitaran menerima peruntukan sebanyak RM48 juta bagi tiga projek, iaitu satu masih di peringkat menunggu kelulusan lokasi atau tapak, manakala dua sedang dalam reka bentuk.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi libat urus projek-projek BDDA bersama JPS Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, memaklumkan bahawa sebanyak lapan projek infrastruktur telah disenaraikan untuk DUN N.40 Kabong dengan jumlah peruntukan RM39.140 juta.
“Daripada jumlah tersebut, tujuh projek masih di peringkat perancangan dan satu telah siap sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau berharap pelaksanaan semua projek yang dirancang dapat disegerakan, khususnya yang melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya, sistem saliran dan infrastruktur pertanian.
“Pelaksanaan projek yang cekap dan mengikut jadual amat penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat luar bandar serta memacu pembangunan sosioekonomi di kawasan Kabong,” tegasnya.
Turut hadir ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Oleh Adi Safarman