
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM34 juta wang daripada aktiviti scam atau penipuan berjaya diselamatkan pada tahun lepas, peningkatan ketara berbanding RM508,479.39 yang direkodkan pada 2024, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata kejayaan itu ialah hasil pengoperasian 24 jam Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), yang sebelum ini beroperasi pada waktu pejabat, selain pertambahan perjawatan di NSRC.
“Wang yang kita selamatkan ini menggunakan Subseksyen 424A, B dan C, Kanun Keseksaaan dan wang ini dia tak berpindah secara berlapis.
“Secara keseluruhannya, mengikut data yang kita kumpul daripada aduan mangsa, kita merekodkan sejumlah RM542 juta kerugian daripada aktiviti scam ini sepanjang tahun lepas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) tentang jumlah individu yang telah didakwa dan disabitkan di bawah Kanun Keseksaaan Subseksyen 424A hingga 424D yang baharu bagi memerangi akaun keldai yang terlibat dalam penipuan dan bilangan mangsa yang berjaya mendapat semula duit mereka.
Saifuddin Nasution berkata bagi Subseksyen 424A, hingga kini sebanyak 51 kes dilaporkan dan antara status kes berkenaan, 20 kes telah dituduh di mahkamah, manakala tiga diklasifikasikan tiada tindakan lanjut.
“Di bawah 424B ada satu, statusnya masih disiasat, 424C ada 10, kesemuanya masih status dalam siasatan, 424D tiada laporan dan tiada kes yang disiasat,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan profil kes penipuan yang direkodkan kementerian itu, golongan pekerja swasta, kakitangan awam, pesara, pelajar dan ahli perniagaan merupakan antara yang paling ramai menjadi mangsa.
Penipuan itu katanya, melibatkan jenayah kewangan dalam kategori love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud dan jenayah telekomunikasi.
Beliau berkata kerajaan menerusi kementerian berkaitan juga sentiasa bekerjasama dan mengadakan sesi libat urus dengan rakan negara ASEAN dalam mencari kaedah terbaik untuk menangani kes penipuan.- Bernama