PUSA: Peruntukan berjumlah RM316 juta telah diluluskan bagi melaksanakan projek mengatasi banjir pantai di 17 lokasi di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata salah satu lokasi adalah di Bahagian Betong dengan empat lokasi projek iaitu Pantai Kampung Semarang dekat Beladin, Rumah Ek dan Rumah Betty, Pantai Kampung Beting Maro dan Pantai Maludam.
“Insya-Allah proses tender sedang berjalan dan diharapkan projek tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin dan akan membantu mensejahterakan keadaan hidup rakyat di sini terutamanya untuk mengatasi banjir dan hakisan pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penangguhan Regata Tandang Sari 2024 bertempat di Dataran Tandang Sari, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli dan Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas.
Fadillah berkata baru-baru ini Ahli Parlimen Batang Lupar dan ADUN Beting Maro berjumpa dengan beliau bagi membincangkan untuk membantu mewujudkan projek Tebingan di Pusa.
“Buat masa ini, kalau saya masih kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri dan tahun depan saya akan sediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membina tebingan di Pusa.
“Perkara selanjutnya kita akan berunding lagi mengenai pembinaan tebingan itu untuk kita hantarkan permohonan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, jika tidak cukup saya akan sedia menbantu selagi saya menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah menjelaskan Regata bukan sekadar sukan sungai dan lambang sungai sebagai nadi utama kehidupan masyarakat, malah ia juga lambang pentingnya semangat bersatu hati ‘segulai sejalai’ (seiring sejalan) untuk mencapai kejayaan.
“Kalau kita tidak ‘segulai sejalai’ atau ‘senada seirama’ dengan semangat berpasukan mengayuh perahu, maka perahu yang dikayuh tidak akan dapat meluncur laju dan menang.
“Begitu juga ke arah membangun dan memakmurkan negeri dan negara, kita perlu ‘segulai sejalai’ bagi memastikan segala pembangunan yang dirancang dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN