

LINGGA: Projek menaik taraf Dataran Kejat Rumah Panjang Mancha Blok A dan B, Tawang Ulu, Tanjung Bijat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga yang bernilai RM300,000, kini sedang dilaksanakan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman bagi menyediakan kawasan lantai konkrit yang lebih kukuh, rata, selamat dan tahan lama untuk kegunaan komuniti setempat.
Dataran kejat merupakan kawasan penting bagi penduduk rumah panjang, digunakan sebagai laluan harian, tempat aktiviti komuniti, ruang letak kenderaan serta kawasan pengumpulan bahan keperluan.
Keadaan permukaan lama yang tidak rata dan mudah rosak menyukarkan pergerakan, terutamanya bagi warga emas, ibubapa dengan anak kecil serta kenderaan.
“Melalui peruntukan pembangunan ini, kerja-kerja konkrit sedang dijalankan untuk meningkatkan keselamatan dan aksesibiliti, mengurangkan risiko banjir kilat serta lopak air, memastikan ruang komuniti lebih teratur dan mesra pengguna, selain menyokong aktiviti harian dan ekonomi kecil rumah panjang,” kata Dayang Noorazah.
Beliau menambah, komitmen pembangunan seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kualiti hidup penduduk rumah panjang terus dipertingkatkan, sejajar dengan pembangunan di kawasan Lingga.
Projek ini dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh komuniti Rumah Panjang Mancha, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.
Oleh Adi Safarman