RM30 juta perkasa Sekolah Mubaligh Sarawak

Facebook
WhatsApp
MESYUARAT Jawatankuasa Eksekutif Sekolah Bantuan Kerajaan Mubaligh yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dekat sini semalam. Foto Pejabat Timbalan Premier Sarawak

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM30 juta menerusi Dana Bantuan Sekolah Mubaligh 2026 bagi memperkasa kemudahan dan infrastruktur sekolah mubaligh di seluruh negeri.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sekolah Bantuan Kerajaan Mubaligh (Mission School Executive Committee – MSEC) Bil. 2/2026 yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di sini semalam.

Mesyuarat yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia itu turut dihadiri wakil pihak berkuasa mubaligh, Setiausaha Pendidikan, pegawai berkaitan serta Sekretariat Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Perbincangan memberi tumpuan kepada penelitian pelaksanaan dan cadangan projek penambahbaikan sekolah di bawah dana berkenaan, terutama membabitkan usaha menaik taraf kemudahan fizikal serta infrastruktur pendidikan.

Inisiatif itu bertujuan memastikan sekolah mubaligh mempunyai persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada warga sekolah.

Dana Bantuan Sekolah Mubaligh merupakan antara usaha berterusan kerajaan Sarawak melalui UNIFOR dalam menyokong pembangunan sektor pendidikan tanpa mengira latar belakang institusi.

Dalam mesyuarat itu, Uggah turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sekolah mubaligh yang mengemukakan laporan kemajuan projek secara lengkap, tersusun dan menyeluruh.

Penghargaan tersebut memperlihatkan penekanan kerajaan terhadap tadbir urus, pemantauan dan akauntabiliti bagi memastikan setiap bantuan disalurkan serta dilaksanakan secara berkesan.

Pada masa sama, pengurusan projek yang baik termasuk penyediaan laporan berkualiti dan pematuhan terhadap tatacara ditetapkan dilihat penting bagi memastikan peruntukan kerajaan memberi impak maksimum kepada komuniti sekolah.

Dengan peruntukan RM30 juta itu, sekolah mubaligh di seluruh Sarawak dijangka terus diperkasa melalui peningkatan kemudahan fizikal dan persekitaran pembelajaran, selaras dengan aspirasi negeri untuk memperkukuh pembangunan modal insan serta menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua.

Oleh Adi Safarman

RM30 juta perkasa Sekolah Mubaligh Sarawak

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM30 juta menerusi Dana Bantuan Sekolah Mubaligh 2026 bagi memperkasa kemudahan dan infrastruktur sekolah mubaligh