KUCHING: Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Lapangan Terbang Landasan Pendek (Stolport) Long Banga dan Ba’kelalan, masing-masing menerima RM15 juta, dalam usaha memperkukuh kemudahan pengangkutan udara di kawasan luar bandar Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, peruntukan itu diluluskan menerusi Dana Pembangunan Lapangan Terbang bagi menaik taraf terminal serta memanjangkan landasan, tertakluk kepada keadaan tapak.
Katanya, usaha itu membuktikan kemudahan pengangkutan udara di kawasan luar bandar turut diberi perhatian kerajaan, bukan hanya lapangan terbang utama.
“Kita tidak mahu orang cakap kita hanya naik taraf lapangan terbang besar sahaja. Lapangan terbang luar bandar kita pun masih lapangan terbang.
“Jadi, kita akan naik taraf terminal dan, yang mana keadaan tapak mengizinkan, memanjangkan landasan mengikut keadaan tapak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Amity Hall, Kompleks UNIFOR, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, pemanjangan landasan itu berpotensi membolehkan lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan udara ke kawasan berkenaan berbanding kapasiti semasa.
Menurutnya, ketika ini pesawat Twin Otter hanya boleh membawa sekitar sembilan penumpang berikutan keadaan landasan yang tidak cukup panjang.
“Kalau sekiranya landasan dapat dipanjangkan, kita boleh membawa lebih ramai penumpang,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada kemudahan udara luar bandar lain termasuk Stolport Marudi dalam usaha memperkukuh rangkaian pengangkutan udara di Sarawak.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Miri turut dirancang untuk dinaik taraf menerusi projek bernilai lebih RM400 juta yang kini berada pada peringkat reka bentuk,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, pembinaan lapangan terbang baharu di Lawas merupakan projek di bawah kerajaan Sarawak menerusi program Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Utara (NARDA), dengan kerja-kerja tapak sedang dilaksanakan di kawasan Sundar.
Hasbi berkata, usaha menaik taraf kemudahan pengangkutan udara, termasuk di kawasan luar bandar, penting bagi memastikan penduduk terus mendapat akses kepada perkhidmatan penerbangan yang lebih baik.
Oleh Adele Rissa




