
DARO: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM3 bilion untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan secara menyeluruh di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, berkata dana tersebut merangkumi pembiayaan penuh yuran pengajian di empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, serta elaun sara hidup berjumlah RM15,000 setahun bagi pelajar yang layak.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif dan mampu milik untuk anak-anak Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Raikan Lebaran Bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) di Dewan Masyarakat Daro hari ini.

Tambahnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sanggup menanggung kos besar ini demi memastikan anak-anak Sarawak mendapat pendidikan terbaik, tanpa kekangan kewangan.
Tambahnya, tiada lagi kekangan untuk anak-anak Sarawak meraih pendidikan dari segi kewangan kerana hanya kelayakan sahaja yang perlu dicapai untuk melayakkan mereka menyambung pengajian secara percuma.
“Saya menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, guru, PIBG dan komuniti agar turut sama memainkan peranan memastikan pelajar Sarawak mencapai kelayakan akademik yang membolehkan mereka merebut peluang pendidikan percuma ini.
“Kita amat bertuah mempunyai pemimpin yang berwawasan seperti Premier Sarawak. Peluang ini tidak dijanjikan dalam mana-mana pilihan raya di negara ini, tetapi diberikan kerana kesedaran pentingnya pendidikan untuk masa depan negeri kita,” ujarnya.
Annuar turut mendedahkan ketika ini lebih 5,000 pelajar menuntut di UTS, meningkat secara drastik berbanding kira-kira 1,000 pelajar sebelum ini hasil pengurangan yuran sehingga 50 peratus yang dilaksanakan, malah peningkatan ketara turut direkodkan dalam kalangan pelajar Bumiputera.
Selain itu, katanya, sistem penilaian kelayakan bantuan pendidikan di Sarawak juga lebih adil dengan mengambil kira pendapatan per kapita isi rumah berbanding pengelasan seperti B40 atau M40.
“Ini membolehkan lebih ramai keluarga dari pelbagai latar belakang mendapat manfaat seperti duit poket pelajar sebanyak RM1,200 setahun.
“Misalnya, jika pendapatan RM10,000 sebulan tetapi mempunyai 10 anak, maka per kapita adalah RM1,000, ia masih layak menerima bantuan. Ia sistem yang inklusif dan tidak diskriminatif,” jelas beliau.
Dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik, Annuar berkata kerajaan turut memperkenalkan Program Tuisyen Percuma di bawah Sarawak Educational Enhancement Programme (SEEP) yang mensasarkan pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5.
“Tuisyen diberi kepada pelajar yang memperoleh kurang daripada 40 markah dalam subjek tertentu, dengan fokus kepada pelajar luar bandar.
“Buat masa sekarang, kami sedang kenal pasti sebab ketidakhadiran pelajar ke kelas tuisyen seperti masalah pengangkutan, makanan dan lain-lain serta akan bantu apa yang perlu. Jika pelajar tak cukup makan, kita tak boleh harap mereka fokus dalam pelajaran,” tambahnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad. – TVS