KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara telah menyerahkan geran berjumlah RM3.165 juta kepada Kerajaan Sarawak untuk sejumlah 1,049 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini, semalam.
Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamad Sadique, ia adalah pembayaran fasa kedua daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak dengan fasa pertama berjumlah RM1.468 juta telah diserahkan sebelum ini.
‘Ini menjadikan jumlah keseluruhan geran KRT bagi tahun 2020 kepada negeri Sarawak berjumlah RM4,643,000.
“Jumlah ini adalah merupakan kenaikan sebanyak 12.5 peratus daripada jumlah geran KRT yang diterima oleh negeri Sarawak pada tahun 2019.
“Manakala bagi seluruh negara, sebanyak RM38.1 juta diperuntukkan untuk keseluruhan 8,274 KRT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Taska Genius Perpaduan, Pejabat Persekutuan Sarawak di sini, semalam.
Ujarnya, kenaikan peruntukan diberikan adalah kerana KRT adalah pemangkin di peringkat akar umbi yang menjadi faktor untuk menyatupadukan masyarakat tempatan melalui komuniti.
“KRT bukan lantikan daripada kerajaan atau sebagainya, sebaliiknya ia adalah lantikan daripada komuniti itu sendiri, jadi ia mengukuhkan KRT supaya lebih banyak lagi program berlandaskan perpaduan boleh dilaksanakan .
“Maka kita beri dan tingkatkan geran bergantung kepada ketegori KRT, seperti yang sangat aktif tahun lalu mendapat RM6,000 tahun ini diberikan RM6,500, yang aktif diberikan RM4000 kepada RM4,500, manakala yang sederhana aktif RM2000 kepada RM2,500,” jelasnya.
Menurutnya, ia adalah sebagai pemberian insentif dan akan ditambah lagi pada tahun hadapan untuk memudahkan KRT merancang program bersama komuniti di dalam kawasan bagi menggerakkan lagi aktiviti perpaduan.
Sementara itu mengulas mengenai lawatan, Halimah menegur ciri-ciri keselamatan jeriji tingkat yang digunakan di taska tersebut dengan menyatakan ia tidak menepati prosedur yang ditetapkan.
“Selepas ini, saya hendak menyemak balik perkara berkaitan terutamanya dari keselamatan tabika dan taska dibawah kementerian, akan keluarkan peruntukan segera untuk kita betulkannya.
“Dalama pada itu kementerian melalui semua pengarah negeri dan daerah hendaklah menyemak balik faktor keselamatan seperti ini kerana ia bukan sahaja melibatkan anak-anak yang datang untuk mendapatkan pendidikan pra-sekolah, tetapi juga soal keselamatan.
“Namun dari segi lain semua tiada masalah,” ujarnya sambil menambah terdapat sejumlah 172 Tabika Perpaduan dan empat taska di seluruh Sarawak.
Oleh Zarina Abdullah