
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa ekosistem keusahawanan belia menerusi penyediaan dana RM28 juta melibatkan Geran Sarawak Youth Startup dan kemudahan Pinjaman Mudah Usahawan Belia bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk membantu golongan belia mengembangkan idea perniagaan berpotensi tinggi sehingga mampu dikomersialkan dan berkembang ke pasaran yang lebih luas.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak telah meluluskan Geran Sarawak Youth Startup berjumlah RM3 juta setahun sebagai pemangkin kepada pembangunan syarikat pemula yang mempunyai potensi tinggi dalam pelbagai sektor.
“Dana ini bertujuan membantu belia membangunkan produk dan teknologi, mempercepatkan proses pengkomersialan serta meningkatkan daya saing syarikat mereka,” katanya pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sarawak Pertandingan Idea Perniagaan Belia (saYBIC) 2025/2026 di Kampung Sukan Sarawak (SSV), di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan Pinjaman Mudah Usahawan Belia bernilai RM25 juta menerusi kerjasama dengan Affin Bank bagi menyokong syarikat milik belia yang bersedia untuk berkembang ke peringkat seterusnya.
Katanya, kemudahan pembiayaan itu akan membantu syarikat meningkatkan kapasiti operasi, memperluaskan pasaran, memperkukuh model perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.
“Ramai syarikat baharu menghadapi cabaran mendapatkan pembiayaan kerana kekurangan rekod perniagaan atau cagaran. Justeru, kemudahan ini diwujudkan bagi membantu mereka mengembangkan operasi dan merealisasikan potensi perniagaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata kementeriannya bersama agensi pelaksana akan terus memperkukuh sokongan kepada usahawan muda menerusi pelbagai kursus, skim bantuan dan geran permulaan termasuk Program SYStartUp serta pembiayaan melalui MINTRED, TEKUN, INSKEN dan SME Corp.
Menyentuh mengenai saYBIC, beliau berkata program tersebut telah berkembang menjadi platform penting dalam membangunkan bakat keusahawanan, inovasi dan kepimpinan dalam kalangan belia Sarawak.
Edisi 2025/2026 berjaya menarik penyertaan daripada lima institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Politeknik Metro Betong dan Kolej Vokasional Matang.
Daripada keseluruhan penyertaan yang diterima, seramai 12 peserta berjaya dipilih ke peringkat akhir untuk membentangkan idea serta model perniagaan masing-masing, sekali gus mencerminkan tahap daya saing dan kualiti projek yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan muda negeri ini.
Oleh Shikin Mahmud