
KABONG: Projek pembinaan surau baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid, Gerigat bakal direalisasikan tidak lama lagi dengan peruntukan sebanyak RM250,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah.


Dato Mohd Chee Kadir semasa menghadiri Sesi Libat Urus Projek RTP di SK Haji Junid hari ini, yang turut dihadiri wakil agensi pelaksana serta pihak sekolah. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kabong
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Sesi Libat Urus Projek RTP di SK Haji Junid hari ini, yang turut dihadiri wakil agensi pelaksana serta pihak sekolah.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu perlu dijalankan mengikut jadual dan piawaian ditetapkan agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru, murid dan komuniti setempat dalam masa terdekat.



Dato Mohd Chee Kadir semasa menghadiri Sesi Libat Urus Projek RTP di SK Haji Junid hari ini, yang turut dihadiri wakil agensi pelaksana serta pihak sekolah. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kabong
“Saya berharap pembinaan surau ini bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi juga pusat aktiviti keagamaan dan pembangunan sahsiah murid,” katanya.
Selain membincangkan projek surau, sesi libat urus tersebut turut merangkumi perbincangan beberapa projek pembangunan lain di kawasan Kabong, khususnya di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana utama.
Chee Kadir menegaskan, semua projek yang diluluskan di bawah RTP perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat, sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan seimbang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Oleh Adi Safarman