RM25.3 juta masuk akuan Bersatu selepas syarikat peroleh projek Jana Wibawa – Saksi

Facebook
WhatsApp
BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi perbicaraan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram. Foto BERNAMA

KUALA  LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang RM25.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh individu dan syarikat, bukan sumbangan politik, sebaliknya sebagai balasan setelah memperoleh projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mazery Mohd Zaini, 42, berkata jumlah itu direkodkan melalui transaksi antara 22 Sept 2021 hingga 22 Nov 2022, membabitkan syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd, Pengarahnya Datuk Seri Azman Yusoff, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan Sutracom Sdn Bhd.

“Hasil semakan terhadap akaun-akaun bank Parti Bersatu mendapati, individu dan syarikat yang berjaya mendapat projek Jana Wibawa telah memasukkan wang ke dalam akaun milik parti itu yang mana akaun ini dikawal oleh tertuduh (Muhyiddin). Saya tidak menemui apa-apa resit penerimaan sumbangan yang dikeluarkan oleh parti Bersatu kepada empat syarikat berkenaan dan Azman,” katanya.

Mazery,  yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Siasatan B, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

Menurut saksi pendakwaan ke-29 itu, penelitian terhadap keseluruhan kronologi, keterangan saksi dan dokumen yang diperoleh, wang berkenaan bukan sumbangan politik tetapi mempunyai pertalian rapat dengan tindakan Muhyiddin membantu syarikat terbabit mendapatkan projek.

“Hasil siasatan juga mendapati wang yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat ini bukanlah sumbangan politik atau satu kebetulan, sebaliknya sebagai balasan kepada tindakan tertuduh yang membantu mereka mendapatkan projek tersebut.

“Ia mempunyai pertalian rapat dan menunjukkan pemberian wang itu bukan sumbangan politik sahaja, sebaliknya satu balasan selepas projek diperolehi walaupun bila tertuduh tidak menjadi perdana menteri lagi,” katanya.

Mengenai proses perolehan projek, Mazery berkata walaupun keputusan muktamad penganugerahan projek masih tertakluk kepada proses penilaian dan kelulusan Kementerian Kewangan serta Jabatan Kerja Raya (JKR), tindakan Muhyiddin mengeluarkan surat dan menurunkan minit telah membuka laluan kepada syarikat terbabit untuk dipertimbangkan.

“Berdasarkan penelitian terhadap surat dan minit yang diturunkan Muhyiddin serta tindakan susulan Kementerian Kewangan, kandungan surat itu bukan sekadar permohonan untuk pertimbangan, sebaliknya menunjukkan satu arahan pentadbiran yang mendorong tindakan lanjut Kementerian Kewangan sehingga syarikat terbabit dianugerahkan projek,” katanya.

Mazery berkata tiga syarikat berkenaan akhirnya menerima Surat Setuju Terima (SST) dengan KCJ Engineering bagi projek membina jalan baharu menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan bernilai RM62 juta; Nepturis bagi projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor bernilai RM141 juta; dan Sutracom yang juga pemilikan sama dengan Mamfor bagi projek membina serta menaik taraf Jalan Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 bernilai RM605.217 juta.

Saksi itu berkata keterangan pemilik dan wakil syarikat turut mengesahkan sumbangan kepada Bersatu dibuat, kerana syarikat mereka berjaya memperoleh projek Jana Wibawa dan tidak akan dibuat sekiranya projek berkenaan tidak dianugerahkan kepada mereka.

Dalam pada itu, Mazery berkata hasil siasatan mendapati berlaku penyalahgunaan kuasa oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika itu, yang mana beliau telah membantu dengan mengarahkan Menteri Kewangan untuk menguruskan berkenaan permohonan empat syarikat terbabit.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mengapa Mazery menyatakan Perdana Menteri menyalahguna kuasa ketika itu, saksi berkenaan menjawab “Kerana tindakan beliau (Muhyiddin) pada ketika itu mengarahkan Kementerian Kewangan, untuk membantu syarikat-syarikat yang membuat permohonan dan berjaya mendapat projek serta membuat sumbangan kepada parti Bersatu”.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.- Bernama

RCI TH: Bekas Menteri direman lima hari

PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), di Arab