
SIBU: Usaha menaik taraf kemudahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu kini menjadi keutamaan melalui pelaksanaan Fasa II Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), khusus untuk menjaga kebajikan anggota polis dan keluarga mereka.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata lawatan tapak bersama Majlis Perbandaran Sibu (MPS) hari ini mendapati pelbagai keperluan tambahan perlu disediakan bagi meningkatkan keselesaan penghuni kuarters polis.
Antara kemudahan yang telah siap termasuk sebuah taman permainan untuk anak-anak anggota, manakala beberapa projek lain dalam perancangan melibatkan baik pulih gelanggang tenis, naik taraf tadika (termasuk pemasangan pendingin hawa), membaiki bumbung bocor dan penyediaan bekalan elektrik tiga fasa.
“Anggota polis adalah barisan hadapan dalam menjaga keselamatan masyarakat. Maka, sudah tiba masanya kita menumpukan perhatian kepada kebajikan mereka.
Untuk itu, saya telah menyalurkan peruntukan RM200,000 setiap tahun khusus kepada IPD Sibu bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur asas,” katanya semasa lawatan tersebut.
Selain itu, katanya, pembinaan sebuah gazebo baharu turut dirancang sebagai ruang santai dan perhimpunan keluarga IPD Sibu bagi mengadakan aktiviti dalaman tanpa perlu menyewa tempat di luar.
Keseluruhan projek yang dilaksanakan bernilai RM200,000, meliputi pembinaan taman permainan, baik pulih gelanggang, tadika, gazebo serta beberapa kemudahan lain.
“Ini adalah komitmen berterusan bagi memastikan anggota polis serta keluarga mereka menikmati persekitaran hidup yang lebih baik sekali gus memberi sokongan moral dalam melaksanakan tugas menjaga ketenteraman awam,” jelas beliau.
Turut hadir Penghulu Ting Tien Huat.
Oleh Tarani Lanting