BINTULU: Kerajaan Sarawak menyalurkan RM20 bilion bagi menaik taraf jaringan jalan pesisir sekali gus membantu memacu pemerkasaan sektor pertanian tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana itu telah dikeluarkan sejak lima tahun kebelakangan ini, bagi meningkatkan ketersambungan jalan pesisir, tidak termasuk Lebuh Raya Pan Borneo.
“Lebuh Raya Pan Borneo adalah projek persekutuan, tetapi banyak penduduk kita berada di kawasan pesisir atau luar bandar.
“Oleh itu, kerajaan Sarawak perlu membina jalan pesisir dan ia memakan kos besar kerana ia kebanyakan merentasi sungai, antaranya, projek Jambatan Bintulu-Kemena yang bernilai lebih RM400 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan (COSAFS2024) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata pemerkasaan jaringan jalan raya dapat menjurus kepada kemajuan sektor pertanian memandangkan usahawan tani boleh mendapat akses kepada pasaran luar.
“Akses kepada pasaran luar merupakan faktor penting dalam pembangunan pertanian selain dua faktor lain iaitu teknologi dan infrastruktur,” katanya.
Abang Johari juga berkata Jambatan Bintulu-Kemena bakal menyediakan akses antara kawasan pusat bandar dengan Jepak.
“Seterusnya kita akan dapat terus ke Tatau dari Jepak, sekali gus membuka kawasan berkenaan untuk aktiviti pertanian selain (kelapa) sawit,” jelasnya.
Pada majlis itu, Abang Johari juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian Sarawak yang diwakili Pengarahnya Dominic Chunggat dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diwakili Naib Canselornya, Dato Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd. Sadullah.
Selain itu, turut diadakan penyampaian kerjasama penyelidikan antara Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani dan UPM Kampus Bintulu yang diwakili pengarahnya, Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini.
Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut serta dua Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben; Setiausaha Tetap kementerian itu, Sirai Daha; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Datu Dr Adrian Susin Ambud, Residen Bahagian Bintulu, Nyurak Keti, dan Pengerusi Lembaga UPM, Profesor Emeritus Dato Dr Ibrahim Komoo.
Oleh Carolyne Utih