
SIDANG MEDIA...Awang Tengah ketika memaklumkan persiapan jawatankuasa bencana Daerah Lawas turut berharap kerjasama penduduk yang diarah pindah untuk sedia menerima arahan.
LAWAS: Peruntukan RM2 juta telah dilulus untuk kerja pembersihan pengairan, saliran dan mendalamkan kuala sungai di Lawas.
Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata peruntukan dari Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) adalah antara usaha mengurangkan kejadian banjir kilat di Daerah Lawas.
Pada masa sama sebanyak 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenal pasti di Daerah Lawas sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir berikutan musim hujan berterusan.
Langkah awal ini penting bagi memastikan kebajikan dan keselamatan penduduk terjejas dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Lebih baik kita bersedia lebih awal. Kita telah mengenal pasti kawasan yang sering dilanda banjir seperti Trusan dan Sundar serta mengambil langkah untuk menyediakan tempat pemindahan bagi mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Majlis Daerah Lawas semalam.
Dalam pada itu Awang Tengah turut menekankan kepentingan kerjasama antara semua jabatan dan agensi, termasuk ketua masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan operasi penyelamatan dan bantuan berjalan lancar.
“Pihak berkuasa juga mengambil kira aspek keselamatan, termasuk risiko tanah runtuh, pokok tumbang serta ancaman buaya yang mungkin berlaku semasa banjir,” jelasnya.
Sebagai langkah tambahan, aset seperti helikopter telah disediakan untuk menghantar bantuan ke kawasan pedalaman jika diperlukan.
“Sekiranya orang ramai diarahkan untuk berpindah, mereka perlu segera berbuat demikian demi keselamatan,” tambahnya.
Dengan persediaan menyeluruh dan koordinasi antara pelbagai pihak, Lawas kini lebih bersedia menghadapi musim hujan dengan langkah kesiapsiagaan yang tersusun dan efektif.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong; Pengarah JPS Sarawak Datuk Ahmad Denney Ahmad Fauzi; Pengarah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA), Datuk Ubaidillah Latip dan Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi.
Oleh ADENG EDRUS