LANGKAWI: FMR Agro Aqua Culture Sdn Bhd akan melabur sebanyak RM2 juta untuk membangunkan projek ternakan ikan kerapu hibrid dan ikan merah dalam sangkar di Tapak Sistem Kultur Laut, Sungai Menghulu, di sini.
Pengarah Urusannya, Faizal Mohd Ross berkata, nilai pelaburan itu melibatkan proses baik pulih sangkar sedia ada seluas 1 hektar milik Kedah Agro Holdings Berhad dan pembelian benih ikan.
“FMR Agro Aqua Culture Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian pembangunan semula projek sangkar ini dengan Kedah Agro Holdings Berhad selama 30 tahun.
“Sebelum ini, lokasi ini memiliki 150 sangkar namun hanya tinggal 50 sangkar. Kita akan baik pulih dan tambah semula supaya dapat memiliki 200 sangkar pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan Kerapu Hibrid dan Ikan Merah di Tapak Sistem Kultur Laut , Sungai Menghulu semalam.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Azman Nasrudin.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Holdings Berhad, Zulkifli Ahmad Rashidi.
Mengulas lanjut, Faizal berkata pihaknya menjangka mampu menuai 50,000 kilogram hasil daripada 50 buah sangkar sedia ada.
“Kita menjangka dapat menuai kira-kira 2,000 kg dalam tempoh enam bulan untuk ikan merah manakala untuk ikan kerapu hibrid akan mengambil masa sedikit. Ini kerana pada peringkat awal ini, kita memasukkan ikan bersaiz 1 kg dan tunggu sehingga berat 5 kg untuk hasilnya dituai.
“Ikan kerapu hibrid ini seterusnya akan diproses sebagai filet untuk pasaran tempatan. Namun begitu, apabila pintu sempadan dibuka semula selepas eksport tidak dapat dilakukan akibat pandemik COVID-19, kita akan eksport ikan kerapu hibrid segar bersaiz 700 gram hingga 1 kg ke China dan Hong Kong,” katanya. – Bernama