RM2 juta naik taraf sistem perparitan 12 kampung di Pekan Saratok

Facebook
WhatsApp
GAPOR Ahmad telah mewakili ADUN Kalaka ke sesi taklimat bagi projek naik taraf sistem perparitan di 12 buah kampung di Pekan Saratok, hari ini. Foto: ADUN Kalaka

SARATOK: Sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem perparitan di 12 buah kampung di Pekan Saratok, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk yang berdepan isu saliran kurang sempurna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, peruntukan tersebut merupakan satu langkah penting dalam memastikan sistem perparitan di kawasan berkenaan dapat dinaik taraf secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Menurut beliau, projek berkenaan dijangka akan melalui proses tender selewat-lewatnya pada November tahun ini, sebelum kerja-kerja fizikal dilaksanakan mengikut perancangan.

Katanya, usaha menaik taraf sistem perparitan itu dibuat selepas beberapa siri lawatan dan tinjauan di kawasan terlibat bersama ketua-ketua kampung bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan perhatian.

“Sekitar awal tahun ini, lawatan bersama Ketua-Ketua Kampung telah diadakan bagi meninjau kawasan parit yang akan dinaik taraf di 12 buah kampung tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, satu sesi taklimat projek naik taraf sistem perparitan itu telah diadakan di Pekan Saratok hari ini bagi memberi penerangan mengenai pelaksanaan projek kepada pihak berkepentingan.

Sesi taklimat berkenaan disampaikan oleh Fatin Atika Baha’Udin, Penolong Jurutera Majlis Daerah Saratok (MDS) dan dihadiri oleh 12 Ketua Kampung dari kawasan terlibat.

Bagi pihak ADUN Kalaka, Setiausaha PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad, hadir mewakili Mohamad Duri dalam sesi taklimat tersebut.

Mohamad Duri berkata, projek berkenaan merupakan hasil susulan daripada beberapa siri lawatan dan siasatan tapak yang dilakukan bagi memastikan keperluan sebenar penduduk dapat dikenal pasti sebelum kerja-kerja naik taraf dilaksanakan.

“Pusat Khidmat ADUN Kalaka turut mengadakan perbincangan bersama pihak MDS dan urusetia Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi membincangkan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf parit ini,” katanya.

Turut hadir pada sesi berkenaan, Penghulu Raji Bujang, Penghulu Madi Bujang dan Kaunselor Majid Amit Zainuddin, selain wakil-wakil ketua kampung yang terlibat dalam projek berkenaan.

Oleh Adi Safarman