Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • RM2.63 juta disalurkan kepada 2,918 penerima bantuan di Sarikei bagi tempoh Januari hingga Februari 2026
  • Tengah
  • WILAYAH

RM2.63 juta disalurkan kepada 2,918 penerima bantuan di Sarikei bagi tempoh Januari hingga Februari 2026

Utusan Sarawak 6 hours ago
BANTUAN… Dato Sri Fatimah Abdullah menyampaikan bantuan bantuan menerima sumbangan khas sempena Aidilfitri kepada penerima.

SARIKEI: Sejumlah keseluruhan RM2,635,350 telah disalurkan kepada 2,918 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) di Bahagian Sarikei bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, selain bantuan bulanan tersebut, seramai 420 penerima bantuan kebajikan turut layak menerima sumbangan istimewa sempena perayaan Aidilfitri.

“Untuk makluman, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei telah merekodkan seramai 420 penerima bantuan bulanan kebajikan yang layak untuk menerima sumbangan istimewa ini.

“Berdasarkan pertimbangan keupayaan fizikal dan mobiliti, hari ini kita berbesar hati menjemput seramai 100 penerima untuk hadir ke majlis ini.

“Manakala baki penerima yang lain akan tetap menerima nilai sumbangan yang sama, yang akan disalurkan terus melalui akaun bank mereka,” katanya ketika berucap pada majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2026, bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.

DATO Sri Fatimah Abdullah menerima cenderamata daripada Pengarah JKMS, Semawi Mohamad. 

Katanya, sumbangan tersebut merangkumi wang tunai bernilai RM100 serta tambahan hamper bernilai RM80 menjadikan nilai keseluruhan bantuan yang diterima amat bermakna bagi menceriakan musim perayaan.

“Program pada pagi ini adalah platform yang strategik untuk mempromosikan budaya penyayang dan seterusnya menyemarakan lagi prinsip kebajikan tanggungjawab bersama dalam komuniti setempat.

“Dalam hal ini, kita mensasarkan penglibatan yang lebih meluas daripada pelbagai agensi dan badan korporat dalam membantu golongan yang miskin dan berpendapatan rendah.

“Penglibatan sektor swasta bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga melalui program latihan kemahiran, tanggungjawab sosial korporat serta pembangunan komuniti secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa peniaga dan klinik swasta di Bahagian Sarikei telah menyertai sebagai rakan strategik Kad Emas Kenyalang (KGC) dalam menyahut seruan ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’ bagi menjamin kesejahteraan warga emas.

“Penyertaan rakan strategik ini adalah secara sukarela, menawarkan diskaun dan rebat ke atas pelbagai perkhidmatan dan barangan, termasuklah keperluan harian seperti barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan pengangkutan.

“Tindakan proaktif daripada sektor korporat ini mencerminkan komitmen mereka terhadap kesejahteraan sosial komuniti, khususnya warga emas Sarawak, dengan matlamat untuk meringankan beban kewangan serta meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Oleh itu, kerjasama antara kerajaan Sarawak dan rakan strategik KGC ini secara berkesan menterjemahkan prinsip ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’ kepada program kebajikan yang berimpak berterusan dan mampan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, bagi memperkukuh agenda kebajikan yang menyeluruh dan merentas generasi, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak termasuk Bantuan Ibu Bersalin sebanyak RM450, Kumpulan Wang Wakaf Sarawak (EFS) berjumlah RM1,000 bagi setiap kelahiran, Geran Tahunan Khas (GTK) sebanyak RM5,000 kepada setiap Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) berdaftar, serta subsidi yuran taska dan tadika sehingga RM1,000 bagi keluarga berpendapatan RM7,000 ke bawah.

Turut disediakan ialah Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) termasuk penyerahan 30 mesin hemodialisis bernilai RM1.236 juta, Bantuan Perubatan bagi rawatan penyakit kritikal, serta pelbagai manfaat melalui Kad Emas Kenyalang (KGC) termasuk Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM1,800 dan Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB) yang menyediakan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai sehingga RM500 setahun.

“Selain itu, geran pemerkasaan seperti Geran Pelancaran JKMS, Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS), Geran Pemerkasaan NGO serta bantuan Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE) turut dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan kumpulan sasar,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Pengarah JKMS, Semawi Mohamad; Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong dan wakil Pegawai Daerah Sarikei, Seah Han Rong.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Musim bubuk kembali, nelayan kongsi cabaran di sebalik hasil lumayan
Next: Usaha kekang rabies: Samarahan anjur program vaksinasi percuma

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.