
KUCHING: Kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti amat penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat untuk pelajar.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata program tersebut bukan sekadar platform menjana dana, malah menjadi wadah menyemai semangat kebersamaan antara semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pesta Makanan SMK Bandar Kuching No.1 yang berlangsung pagi tadi di kawasan parkir sekolah.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Pengetua, Chew Kui Hock, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Chong Nam Fah, serta seluruh jawatankuasa penganjur atas penganjuran program yang berjaya dan meriah.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu mengumpul dana untuk menaik taraf prasarana sekolah seperti kantin dan tapak perhimpunan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan pihak sekolah,” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan sumbangan terkini berjumlah RM194,250 bagi pembelian 15 unit skrin LED untuk kegunaan sekolah.
“Jumlah sumbangan keseluruhan sejak 2022 kini hampir mencecah RM500,000, termasuk pembinaan tempat letak kereta berbumbung dan tempat menunggu (RM90,558), pembersihan stor akibat kebakaran (RM26,300), sokongan aktiviti sekolah (RM3,000) serta pembelian 480 kerusi pelajar dan perabot guru (RM162,970).
“Walaupun kawasan Parlimen Bandar Kuching mempunyai banyak sekolah, SMK Bandar Kuching No.1 tetap dekat di hati saya kerana terletak dalam kawasan saya. Saya akan terus berusaha membantu sebaik mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa agar peranan PIBG dimantapkan sebagai pemangkin hala tuju sekolah, selain menjadi jambatan kerjasama erat antara sekolah dan agensi luar seperti jabatan kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Beliau turut menyarankan agar budaya saling menyokong dalam kalangan ibu bapa dan guru terus dipupuk demi membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki sahsiah dan nilai murni yang tinggi.
“Berpaksikan semangat Malaysia Madani dan slogan sekolah ‘Bersama Kita Usaha Ke Arah Kecemerlangan” saya percaya usaha seperti ini wajar dijadikan acara tahunan dan menjadi kebanggaan seluruh warga sekolah,” tambahnya.
Oleh Shikin Mahmud