KUCHING: SACOFA Sdn. Bhd. melaksanakan Program Pemodenan Rangkaian bernilai RM185 juta bagi memperkukuh infrastruktur telekomunikasi Sarawak, sekali gus meningkatkan kapasiti rangkaian untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan pembangunan teknologi masa depan di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, program yang bermula pada November 2025 dan dijadualkan siap pada 2027 itu merupakan langkah strategik untuk membina rangkaian telekomunikasi yang lebih pintar, berdaya tahan dan berkapasiti tinggi.
Beliau yang juga Pengerusi SACOFA berkata, menerusi penggunaan teknologi Optical Transport Network (OTN), kecerdasan buatan (AI) dan keupayaan penghalaan generasi baharu, program tersebut akan meningkatkan kapasiti keseluruhan rangkaian SACOFA daripada 1.6 terabit sesaat (Tbps) kepada 7.2 Tbps.
“Pada masa sama, kapasiti bagi setiap tapak akan dipertingkatkan daripada 10 gigabit sesaat (Gbps) kepada 100 Gbps bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada sektor perniagaan, perkhidmatan kerajaan serta komuniti di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak sempena Ulang Tahun Ke-25 SACOFA di Hotel Sheraton Kuching, di sini, malam ini.
Julaihi berkata, sehingga Julai 2026, sebanyak 365 daripada keseluruhan 732 tapak yang terlibat dalam program tersebut telah siap dan bersedia untuk beroperasi, manakala baki 367 tapak lagi sedang melalui proses pemodenan.
Katanya, kemajuan itu mencerminkan komitmen SACOFA dalam menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang bersedia menghadapi keperluan masa depan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.
Beliau berkata, perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan, pengkomputeran awan, Internet Benda (IoT), bandar pintar, pusat data, perkhidmatan kesihatan digital dan pembuatan termaju memerlukan rangkaian telekomunikasi yang moden serta berdaya tahan.
“Oleh itu, SACOFA akan terus memperkukuh keupayaannya melalui inovasi dan kerjasama strategik bagi memastikan Sarawak kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi digital yang semakin berkembang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata SACOFA kini memiliki dan mengurus lebih 1,688 menara telekomunikasi serta lebih 11,000 kilometer rangkaian gentian optik yang menjadi tulang belakang kepada penyampaian perkhidmatan telekomunikasi di seluruh Sarawak.
Beliau turut berkata, kerjasama strategik SACOFA dengan U Mobile sebagai rakan penyedia gentian optik backhaul bagi pelaksanaan rangkaian 5G di Sarawak akan mempercepatkan peluasan liputan 5G serta memperkukuh ekosistem digital negeri.
Menurutnya, semua usaha tersebut selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang menjadikan pembangunan infrastruktur digital sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan dan pembangunan inklusif.
“SACOFA akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam membangunkan infrastruktur telekomunikasi yang berdaya tahan, memacu inovasi serta memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sarawak,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi





