
BINTANGOR: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM180,000 melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan sebuah gelanggang serbaguna di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh kemudahan asas institusi pendidikan luar bandar, selain memberi manfaat kepada warga sekolah dan komuniti setempat.
“Penyediaan kemudahan sukan yang mencukupi dan berkualiti merupakan elemen penting dalam usaha melahirkan generasi murid yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing.
“Gelanggang serbaguna ini bukan sekadar lokasi aktiviti sukan, malah berperanan sebagai wadah untuk memupuk semangat berpasukan, memperteguh jati diri serta membentuk kepimpinan dan semangat kesukanan dalam kalangan murid,” katanya.
Beliau menyampaikan perkara tersebut menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Gung Chiu Kion, semasa majlis perasmian gelanggang serbaguna SK Sungai Petai, baru-baru ini.
Tiong Sii turut menyatakan keyakinannya bahawa kemudahan itu akan memberi impak positif yang besar kepada seluruh warga sekolah.
“Ia boleh dimanfaatkan untuk latihan sukan, aktiviti kokurikulum dan juga rekreasi.
“Pembinaan gelanggang ini juga mencerminkan iltizam pihak sekolah dan masyarakat dalam memastikan pembangunan holistik murid diberi keutamaan, meliputi aspek akademik, fizikal, mental dan sosial,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar seluruh warga pendidik dan murid memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang telah disediakan itu.
Oleh Earl Anek