Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • RM180,000 diperuntuk bagi projek infrastruktur Kampung Sungai Lingkau Hilir
  • Selatan
  • WILAYAH

RM180,000 diperuntuk bagi projek infrastruktur Kampung Sungai Lingkau Hilir

Utusan Sarawak 11 hours ago
MAJLIS Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 di Kampung Sungai Lingkau Hilir berlangsung meriah dengan adat tradisi, menandakan penutupan rasmi musim Gawai, malah turut menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang di kawasan Simunjan. -Foto UKAS

SIMUNJAN: Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 di Kampung Sungai Lingkau Hilir berlangsung meriah dengan adat tradisi, sekali gus menjadi platform bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, mengumumkan inisiatif pembangunan infrastruktur untuk kampung tersebut.

Beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi 2026 untuk melaksanakan projek pembinaan jalan lorong baharu yang akan melibatkan lima laluan utama di sekitar Kampung Sungai Lingkau Hilir.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan rakyat luar bandar menikmati prasarana yang lebih baik. Pembinaan jalan lorong ini bukan sahaja akan memudahkan urusan harian penduduk, malah penting untuk keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi projek iaitu pembinaan stor simpanan bernilai RM80,000 telah pun diluluskan di bawah peruntukan RTP ADUN dan kini hanya menunggu pelaksanaan oleh pihak Majlis Daerah Simunjan (MDS).

Menurut beliau, pembinaan stor tersebut akan memberi manfaat kepada komuniti kampung terutamanya dalam urusan menyimpan peralatan berkaitan program sosial, bencana dan aktiviti gotong-royong kampung.

“Kita berharap pihak MDS dapat melaksanakan projek ini dalam masa terdekat agar kemudahan yang dirancang dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penduduk,” tambahnya lagi.

Sebagai usaha memperkasa gaya hidup sihat dan menyediakan ruang riadah yang selamat untuk golongan belia, Awla turut menggesa penduduk kampung agar mengenal pasti tapak yang sesuai bagi cadangan pembinaan padang futsal.

“Saya amat menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti sihat seperti sukan. Namun kita perlukan kerjasama daripada penduduk untuk mengenal pasti tapak yang sesuai agar permohonan dapat diangkat dan dikaji,” jelas beliau.

Majlis ‘Ngiling Bidai’ ini bukan sahaja menandakan penutupan rasmi musim Gawai, malah turut menjadi platform untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang di kawasan Simunjan.

Majlis turut diserikan dengan upacara tradisi ‘Ngetas Ranyai’ dan ‘Ngiling Bidai’ yang dijalankan penuh simbolik oleh Awla bersama rombongan.

Turut hadir isteri Awla, Napsiah Abang Kaderi, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Ketua Polis Daerah Simunjan, DSP Rafhan Kepli, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunjan, Rosita Poni, Penghulu Jubin Sili serta Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sungai Lingkau, Tawan Jawa. -UKAS

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: 15 peserta sertai ceramah kesedaran kebakaran
Next: Tradisi ‘Ngiling Bidai’ lambang perpaduan, warisan Iban

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.