
BINTANGOR: Dasar inklusif kerajaan Sarawak yang menekankan perpaduan dan kesejahteraan rakyat diterjemahkan melalui penyerahan sumbangan berjumlah RM162,850 oleh ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, kepada dua gereja dan sebuah rumah panjang di Daerah Meradong.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Koung Hiing kepada penerima di Pusat Khidmat DUN Meradong pada kelmarin.
Ia melibatkan sumbangan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP), sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan prasarana serta keperluan asas masyarakat setempat.
Daripada jumlah keseluruhan itu, Gereja Chin Nguong Methodist menerima peruntukan sebanyak RM80,000, manakala Gereja Lai Ang Methodist menerima RM67,450 bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan rumah ibadat masing-masing.
Selain itu, geran khas MRP bernilai RM15,400 turut disalurkan bagi membiayai kerja-kerja pemasangan meter air di Rumah Jerome di Sungai Baron yang melibatkan 39 pintu rumah panjang.
Koung Hiing berkata, sumbangan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap keperluan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap keperluan semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama.
“Melalui peranan UNIFOR, pelbagai bantuan telah disalurkan bagi memastikan rumah-rumah ibadat bukan Islam turut menikmati pembangunan seimbang,” katanya ketika ditemui media.
Tambahnya, pelaksanaan projek pemasangan meter air di Rumah Jerome memberi kesan langsung kepada peningkatan taraf hidup penduduk dengan menyediakan bekalan air bersih yang lebih efisien dan selamat.
“Pemasangan meter air ini akan memudahkan urusan penduduk, memastikan bekalan air bersih dapat dinikmati dengan lebih efisien serta menggalakkan pengurusan air yang lebih teratur di rumah panjang,” katanya.
Tegasnya, beliau akan terus memperjuangkan lebih banyak projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan Meradong termasuk kemudahan awam, rumah ibadat serta program kebajikan komuniti.
Oleh Earl Anek