
TATAU: Sebanyak RM16,000 disalurkan kepada 15 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus bagi membantu mereka memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi, sekali gus menjadikan pendidikan sebagai fokus utama bantuan di kawasan Parlimen Selangau.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, peningkatan jumlah pelajar luar bandar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan semakin kukuh.
“Tahun ini saja, seramai 161 pelajar diploma menerima RM126,000, manakala 92 pelajar sarjana muda menerima RM110,400.
“Kita juga mempunyai enam pelajar sarjana dan tiga pelajar PhD yang turut menerima bantuan sama,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan geran peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 4 Tahun 2025 dan Bantuan Pendidikan bagi Parlimen Selangau di Pejabat Daerah Tatau, hari ini.
Tambahnya, sokongan pendidikan itu penting untuk memastikan anak muda luar bandar khususnya dari rumah panjang terus berpeluang meningkatkan taraf hidup melalui pencapaian akademik.
Dalam program sama, sebanyak RM122,000 turut diagihkan kepada 23 penerima melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kelab serta badan bukan kerajaan (NGO) di bawah MRP Fasa 4 Tahun 2025, bagi melaksanakan program kemasyarakatan serta penyelenggaraan kemudahan mengikut keperluan setempat.

Edwin berkata, peruntukan tersebut membantu memperkukuh peranan organisasi akar umbi dalam mengurus keperluan penduduk termasuk aktiviti pembangunan komuniti.
Beliau turut menggesa penduduk di kawasan Selangau supaya terus menyalurkan maklumat mengenai isu dan keperluan mendesak bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
“Kalau orang tidak memaklumkan kepada saya, bagaimana saya hendak tahu apa yang berlaku,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih