SADONG JAYA: Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan lebih RM150 juta bagi menaik taraf bekalan elektrik dari Asajaya ke Sebuyau bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan peningkatan penggunaan peralatan elektrik, bekalan elektrik fasa tunggal sedia ada kini tidak lagi mencukupi dan memerlukan peningkatan kepada sistem bekalan elektrik tiga fasa.
Katanya, komitmen kerajaan terhadap projek ini merupakan sebahagianinisiatif negeri yang disambung dari projek persekutuan, sambil berharap gangguan bekalan elektrik tidak akan berulang dengan naik taraf ini.
“Projek ini akan menghubungkan Sadong Jaya, Asajaya dan Sebuyau, bagi memastikan setiap kediaman menerima bekalan tiga fasa yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran naik taraf Masjid Darul Iman di sini, hari ini.
Selain bekalan elektrik, beliau turut menekankan kepentingan untuk menggantikan paip air lama di seluruh negeri termasuk di Sadong Jaya.
Katanya, projek membabitkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion ini, mengambil masa selama lima tahun mengintegrasikan teknologi digital pintar bagi memodenkan infrastruktur itu di rantau ini.
“Dengan peruntukan RM1.1 bilion selama lima tahun, kami akan menyediakan RM200 juta setiap tahun untuk menaik taraf paip air, bermula di Sadong Jaya dan diteruskan ke Sibu, Miri, dan Limbang,” katanya.
Masjid Darul Iman yang baharu dinaik taraf kini dilengkapi dengan ruang solat yang luas serta kemudahan tambahan seperti pusat tahfiz, pusat komuniti tempatan, ruang pejabat, bilik kuliah, dan kawasan parkir mencukupi.
Projek bermula pada 26 November 2021 ini siap pada 16 Ogos 2024 dan mampu menampung antara 570 hingga 1,890 orang jemaah.
Empat menara masjid ini mempunyai makna simbolik yang melambangkan empat arah mata angin, empat khalifah dalam Islam, serta kekuatan dan keteguhan iman dalam agama Islam.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo.