
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, menegaskan bahawa penjimatan hasil rasionalisasi subsidi oleh Kerajaan Persekutuan perlu disalurkan kepada sektor pembangunan, dan bukan digunakan untuk menampung perbelanjaan pentadbiran.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan penjimatan kira-kira RM15.5 bilion setahun daripada pelaksanaan subsidi bersasar dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya di Sarawak dan Sabah.
“Wang yang dijimatkan sepatutnya menjadi bahan bakar pembangunan, bukan digunakan untuk membiayai pentadbiran yang semakin meningkat,” tegasnya.
Chieng berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan anjuran bersama Pusat Khidmat N51 Bukit Assek dan Cawangan Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Bukit Assek di sini, malam tadi.
Beliau memetik laporan Belanjawan 2026 yang menunjukkan perbelanjaan pentadbiran meningkat RM6.1 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan hanya naik RM1 bilion, sekali gus menggambarkan ketidakseimbangan dalam struktur kewangan negara.
Menurutnya, ketidakseimbangan itu boleh memperlahankan kadar pembangunan negara dan menjejaskan kemajuan wilayah luar bandar, terutamanya di Malaysia Timur.
Pada masa sama, beliau mengakui terdapat peningkatan peruntukan pembangunan Persekutuan kepada Sarawak daripada RM2.9 bilion pada 2022 kepada RM6 bilion, serta geran khas kepada Sabah dan Sarawak yang meningkat dua kali ganda kepada RM600 juta.
Namun, beliau menegaskan bahawa bahagian Sarawak dalam keseluruhan bajet pembangunan negara sebanyak RM81 bilion hanya sekitar tujuh peratus, satu angka yang menurutnya masih belum mencerminkan keluasan, keperluan dan sumbangan negeri itu kepada negara.
“Sarawak memiliki tanah yang luas dan sumber melimpah, tetapi infrastruktur, kesihatan dan pendidikan luar bandar masih jauh ketinggalan,” katanya.
Chieng turut menegaskan bahawa kerajaan perlu melaksanakan pengagihan bajet yang lebih adil bagi merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
Dalam ucapannya, beliau juga menyeru agar semangat perpaduan masyarakat terus diperkukuh biarpun dasar kerajaan berubah dari semasa ke semasa.
“Kita yang paling tahu sama ada bulan itu penuh atau tidak, dan kita membina komuniti kita bersama,” ujarnya sambil mengucapkan selamat menyambut Perayaan Kuih Bulan kepada para hadirin.
Turut hadir Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek, Datuk Chieng Buong Toon, bersama lebih ribuan masyarakat tempatan yang memeriahkan sambutan tersebut.
Oleh Tarani Lanting