
MIRI: Projek menaik taraf jalan tanah dari Simpang Lapok ke Simpang Long Jegan, Tinjar sepanjang 23 kilometer bagi fasa pertama dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Penguang Manggil berkata projek itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM130 juta.
“Projek ini merupakan antara komitmen kerajaan Sarawak untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta mempertingkatkan kemudahan asas penduduk di kawasan Tinjar,” katanya.
Penguang yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata demikian semasa merasmikan Program Petronas Memacu Kehidupan Gawai 2025 bertemakan ‘Segulai Sejalai’ yang berlangsung di Rumah Jarau, Long Tabing, di sini, semalam.
Menurut Penguang, fasa kedua bagi projek berkenaan melibatkan laluan dari Simpang Long Jegan ke Long Tisam, akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Oleh Liong Chai Ling