
SIBU: Seorang peniaga kedai haiwan peliharaan mengalami kerugian sebanyak RM110,747.62 selepas menjadi mangsa penipuan dengan menggunakan modus operandi ‘Phishing’.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berumur dalam lingkungan 40-an, telah tertarik dengan satu iklan jualan buah-buahan menerusi laman sosial Facebook.
“Mangsa telah menekan pautan iklan dan sejurus selepas itu, telefon bimbit mangsa tiba-tiba terpadam secara automatik.
“Mangsa segera menghidupkan semula telefon bimbitnya dan mendapati beberapa transaksi mencurigakan berlaku tanpa pengetahuannya melalui akaun bank dan kad kredit miliknya,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Menurut beliau, mangsa kemudian menghubungi talian khidmat pelanggan bank dan dimaklumkan bahawa wang dalam akaun bank serta kad kredit mangsa telah dipindahkan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran mangsa.
“Mangsa mendapati terdapat transaksi pemindahan wang sebanyak sembilan kali transaksi secara keseluruhan berjumlah RM110,747.62 ke dalam lapan akaun tempatan yang berlainan,” ujarnya.
Mangsa mula berasa curiga dan sedar dirinya telah diperdaya sebelum membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.”
“Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata beliau.
Oleh Akun Giman