
ROBAN: Peruntukan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM100,000 telah diluluskan bagi menaik taraf struktur berbumbung di hadapan bangunan pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata sekolah bukan sekadar satu institusi pendidikan tetapi pusat untuk melahirkan modal insan berkualiti sebagai pemimpin negara pada masa akan datang.
“Justeru, saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini akan sentiasa memberi keutamaan dan fokus terhadap pembangunan sekolah.
“Justeru, saya akan terus meminta kerjasama daripada pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan bantuan serta kemudahan prasarana sekolah-sekolah di daerah ini berada pada tahap yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Ahli Dewan Negara, Pele Peter Tinggom pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan sambutan Hari Gawai Ngiling Tikai PIBG SK Sungai Pasir semalam.

Chee Kadir berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa komited untuk menaik taraf serta memperbaiki sistem pendidikan di negeri ini dengan tidak meminggirkan mana-mana sekolah termasuk sekolah di kawasan luar bandar seperti di DUN Kabong.
“Kerajaan sedar tentang pentingnya pendidikan untuk mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar lebih-lebih lagi dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Mengenai penganjuran majlis tersebut, beliau berkata ia bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan dan budaya dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat bahkan menjadi platform terbaik untuk menyumbang kepada manfaat anak-anak kita di sekolah ini.
Pada majis tersebut Chee Kadir telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM7,000 kepada PIBG SK Sungai Pasir menerusi geran khas kerajaan Sarawak.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Bell Bernard Aggan dan Pegawai Tugas Khas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Leonard Jambu.
Oleh Adi Safarman