KUCHING: Sebanyak RM10 juta geran daripada Kerajaan Sarawak disumbangkan kepada sekolah persendirian Cina baru-baru ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya bantuan tersebut ia dapat membantu sekolah persendirian Cina di negeri ini.
Beliau menyerahkan cek tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kuching Chung Hua Middle School No.1,3 dan 4 iaitu Dato Richard Wee dalam satu majlis ringkas di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.
Tahun lalu, jumlah untuk tujuan yang sama adalah sebanyak RM9 juta dan RM8 juta pada 2018 dalam usaha berterusan untuk membantu pendidikan Cina di Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Jonathan Chai Voon Tok berkata, peruntukan itu adalah geran tahunan untuk 14 sekolah menengah persendirian Cina di Sarawak.
“Sebelum ini Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan mendiang Tok Nan memulakan pemberian tahunan dengan RM3 juta pada 2013, kenaikan tahunan sebanyak RM1 juta, kerajaan negeri terus memberikan RM10 juta tahun ini.
“Objektif pemberian geran tersebut adalah untuk membantu meringankan beban kewangan Lembaga Pengurusan sekolah yang biasanya meminta sumbangan daripada masyarakat setiap masa bagi menampung kekurangan defisit belanjawan untuk operasi sekolah termasuk gaji para guru,” katanya.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian yang juga pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).