MUKAH: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan bidang pertanian di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memperuntukkan dana khusus kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tujuan itu.
“Kerajaan GPS telah memperuntukkan dana sebesar RM1 juta bagi setiap ADUN untuk melaksanakan pelbagai program pertanian. Ia membutktikan betapa seriusnya kerajaan untuk membangun program pertanian dan galakan bagi penduduk untuk menceburi bidang yang sangat penting ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada program Agriculture Community Outreach Program (ACOP) yang diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Petanak di sini pada Selasa (6 Oktober).
Terutama ketika krisis Covid-19 ini katanya, program tersebut telah memperkenalkan pelbagai kaedah penanaman moden seperti fertigasi, hidroponik dan sebagainya yang boleh dilaksanakan di mana-mana termasuk di kawasan rumah.
Langkah tersebut, ujarnya untuk memastikan penduduk kita tidak akan terputus dengan bekalan hasil pertanian terutama makanan seperti sayur-sayuran dan sebagainya.
“Pertanian itu amat luas bukan hanya terhad kepada penanaman akan tertapi juga ternakan, nelayan, akuakultur dan lain-lain lagi. Secara umum bekalan makanan terutama import agak terjejas dengan krisis covid ini, jadi adalah penting untuk kita mengeluarkan makanan, sekurangnya untuk kita sendiri atau keluarga. Maka penduduk kita telah didedahkan dengan pelbagai kaedah pertanian yang modern dan ilmu ini boleh diperolehi daripada program anjuran jabatan pertanian atau organisasi-organisasi yang mahir dengan kaedah-kaedah tertentu,’ ujarnya lagi.
Yussibnosh berkata, harapan kerajaan bukan hanya ingin melihat penglibatan rakyat kita dalam bidang pertanian untuk kegunaan sendiri akan tetapi juga sebagai sumber pendapatan keluarga dan komuniti setempat.
“Mungkin pada peringkat awal untuk kegunaan sendiri, dan seterusnya kalau ada lebih boleh dijual dengan jiran-jiran dan komuniti setempat. Pada tahap itu, pertanian adalah perniagaan. Jika ia berkembang ia akan ke peringkat yang lebih jauh, itulah harapan kita semua,”ujarnya lagi.
Selalin daripada bidang penanaman, Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada aktiviti lain yang dikategorikan dalam pertanian.
“Misalnya untuk menyuburkan hasil laut kita, kerajaan negeri telah menurunkan banyak tukun tiruan ke dasar laut atau perairan kita bagi tempat pembiakan ikan dan kehidupan marin lain,” katanya lagi.
Maka dia menganggap program ACOP ini sebagai salah satu inisiatif yang positif untuk kearah mengembangkan bidang pertanian di pelbagai peringkat kerana penduduk akan didedahkan dengan kaedah-kaedah pertanian moden.
“Bagi kawasan DUN Tellian, yang ini adalah yang ketiga, dan kita telah memilih Kpg Petanak untuk menganjurkannya pada kali ini kerana ia boleh dikatakan di tengah-tengah di segi lokasi bagi penempatan-penempatan atau kampung di kawasan ini,” kata dia lagi.
Yussibnosh juga bangga bahawa penduduk tempatan sudah mulai mengadapkasikan kehidupan norma baharu dari segi memasarkan produduk atau membeli barang semenjak PKP diperkenalkan.
“Semenjak PKP, bukan perintah berkurung akan tetapi cuma pergerakan sahaja, penduduk kita sudah ramai yang telah menggunakan kaedah pembelian dan penjualan melalui atas talian seperti melalui whatsapp,instigram, facebook atau sekurang-kurangnya melalui panggilan telefon. Ini menunjukkan penduduk kita telah mengadaptasikan norma baharu ini dengan cukup baik,’ tambah Yussibnosh.
Turut hadir, Penolong Pegawai Menguasa Jabatan Pertanian Bahagian Mukah, Benedict Thomas, SAO Nolin Gendang yang mewakili Pegawai Daerah Mukah, Pemanca Mohd Jali Kawi, Penghulu Edmund Innu, dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Mukah, Mohd Jamalludin.
Oleh Henry B Siyu